PASIR MAS: Seorang lelaki sanggup berulang alik menggunakan bot enjin galah semata-mata mahu memastikan empat ekor kucing peliharaannya tidak kelaparan selepas rumahnya di Kampung Serongga, di sini ditenggelami banjir.
Pa’Adek Abdullah, 55, berkata, sejak kampungnya ditenggelami banjir dia akan pulang dua kali sehari untuk memberi makan selain memastikan kucing tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Nak bawa kucing ke pusat pemindahan banjir (PPS) agak sukar, jadi saya mengambil keputusan meninggalkan haiwan itu di rumah.
“Kucing saya selamat kerana rumah tidak dinaiki air, cuma perkarangan sahaja ditenggelami air sedalam tiga meter,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pa’Adek bagaimanapun berkata, dia tetap risau keselamatan haiwan berkenaan kerana hujan lebat tanpa henti akan menyebabkan rumahnya dimasuki air.