PETALING JAYA: Tun Juhar Mahiruddin akan meneruskan khidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah untuk penggal keempat dan dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara, hari ini.
Pelantikan itu sekali gus menyaksikan Tun Juhar, 65, memegang jawatan berkenaan lebih 10 tahun sejak dilantik pada 1 Januari 2011.
Utusan Malaysia difahamkan, istiadat itu akan berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Tun Juhar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.
Tun Juhar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 2002 hingga 2010 dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.
Pada 28 September lalu, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) mencadangkan nama bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pengganti kepada Tun Juhar yang akan menamatkan penggalnya.
Pada September 2020, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman juga pernah disebut-sebut bakal dilantik Yang Dipertua Negeri selepas tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
DUN Sabah sebelum ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Sabah yang sebelum ini dihadkan kepada dua penggal.
Menurut Perlembagaan Sabah, pelantikan Yang Dipertua Negeri adalah selama empat tahun akan tetapi boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian termasuk boleh disingkirkan dengan majoriti dua pertiga DUN dan dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.
Pada 2018, Musa Aman memfailkan saman terhadap Tun Juhar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika itu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah. – UTUSAN