KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan Kertas Putih Pertahanan akan terus dijayakan sepanjang tempoh pentadbirannya.
Jelas beliau, perkara itu menjadi keutamaannya ketika ini bagi memperkasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.
“Pihak ATM telah pun mendapat kelulusan berkenaan Kertas Putih Pertahanan di peringkat Parlimen dan memulakan langkah strategik memperkasa ATM dalam ketiga-tiga perkhidmatan iaitu tentera darat, laut dan udara.
“Saya akan meneruskan apa yang sedang dilakukan pihak kementerian dan saya cuba sedaya upaya menambah nilai apa yang perlu diperkasa lagi.
“Keutamaan saya adalah bersama pimpinan ATM bagi setiap perkhidmatan dan awam demi memastikan supaya Kertas Putih ini dapat dijayakan sebaik mungkin,” katanya dalam sidang akhbar pertama sebagai menteri di Wisma Pertahanan hari ini.
Kertas Putih Pertahanan diluluskan di Parlimen pada 2019 dan dibentangkan pertama kali oleh Mohamad Sabu.
Ia kemudian diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ditanya sama ada Kementerian Pertahanan perlu diberi peruntukan lebih besar, Mohamad menyifatkan keselamatan dan kedaulatan negara perlu terus menjadi agenda negara.
“Pertahanan negara dan kedaulatan negara sepatutnya menjadi keutamaan. Kalau tak ada keselamatan dan pertahanan yang baik serta kedaulatan terancam, lupakanlah soal kemakmuran.
“Jadi, amat penting untuk orang faham kedaulatan negara adalah keutamaan dan kita terus pertahankan pesisiran, ruang udara dan sempadan negara dengan sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN