KOTA BHARU: Banjir yang melanda negeri ini sejak seminggu lalu hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa semakin menurun kepada 718 orang yang masih lagi berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,235 semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, setakat pukul 8 pagi ini kesemua mangsa terlibat berlindung di lima buah PSS di Pasir Mas dan Tumpat.
“Di Pasir Mas terdapat 641 mangsa masih berlindung di empat buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) To’Deh, SK kedai Tanjong, SK Banggol Chicha dan Pusat Tarbiah Nasrullah, Pohon Buluh.
“Sementara di Tumpat pula, SK Pengkalan Kubor 1 menjadi PPS tunggal di jajahan itu apabila menempatkan 77 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Hanif memberitahu, semua sungai-sungai utama di negeri ini sudah kembali ke paras normal.
Katanya, bagaimanpun Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras berjaga-jaga walaupun trend menurun.-UTUSAN