SHAH ALAM: Bonggol yang menyebabkan kenderaan seolah-olah ‘terbang’ di Persiaran Arsyad Ayub Seksyen 7 di sini dilaporkan dalam proses untuk diperbaiki.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati beberapa orang Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang memantau kerja-kerja pembaikan untuk memastikan bonggol tersebut tidak berbahaya dan menyebabkan banyak lagi kereta terus ‘terbang’.
Beberapa jentera membuat jalan tar turut berada di laluan tersebut.
Terdahulu, tular video klip yang menunjukkan beberapa kereta seperti sedang terbang setelah melalui bonggol di Persiaran Arsyad Ayub Seksyen 7 tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi turut melawat kawasan tersebut semalam bagi melihat sendiri bonggol tersebut.
Menurut Najwan, bonggol tersebut dibina susulan kes kematian seorang pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu, pada tahun 2019 seperti yang dilaporkan dalam akhbar ini.
Pada mulanya, kata Najwan, pihak MBSA bersetuju untuk membina jejantas di kawasan terbabit, namun akhirnya MBSA membina bonggol sebagai tindakan alternatif.-UTUSAN