SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor tidak menemui sebarang kesan atau tanda kehadiran seekor buaya di Tasik Serendah, Hulu Selangor.
Perkara berkenaan susulan dakwaan pengguna media sosial menerusi gambar yang tular di laman itu hari ini.
Pengarah Perhilitan negeri, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi berkenaan pukuk 1.40 petang tadi.
“Sepanjang tempoh siasatan itu, kami tidak menemui sebarang tanda kehadiran buaya tersebut. Tiada hidupan liar yang dilaporkan itu setakat ini,” katanya ketika dihubungi petang tadi.
Jelas beliau, pihaknya bagaimanapun akan menjalankan pemantauan secara berterusan di Tasik Serendah.
Sehubungan itu, Choon Yung menasihatkan orang ramai supaya berwaspada sekiranya ternampak buaya tersebut.
“Jangan sesekali menghampiri haiwan itu dan segera menghubungi pihak berwajib termasuk Perhilitan untuk tindakan lanjut,” tegasnya.
Terdahulu, perkara itu tular dan orang ramai terutama pemancing dinasihatkan supaya berhati-hati di kawasan tersebut. – UTUSAN