Tanah jerlus: 627 pesawah Perlis  terima bantuan  - Utusan Malaysia

Tanah jerlus: 627 pesawah Perlis  terima bantuan 

MOHD Shukri Ramli (tiga dari kanan) menyerahkan mock cek kepada Pengerusi PPK MADA Simpang Empat, Abd Rahim Abu Bakar (kiri) sewaktu Majlis Penyampaian Bantuan Tanah Jerlus Bagi Kawasan MADA Wilayah 1 Perlis Tahun 2022 di PPK E1 Simpang Empat, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 627 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terjejas hasil padi akibat tanah jerlus pada Februari dan Mac lalu menerima bantuan kerajaan negeri berjumlah RM360,000.

Bantuan  itu adalah berbentuk pembekalan input pertanian produk pemulihan tanah, kawalan serangga perosak dan penggalak pertumbuhan padi.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kejadian tanah jerlus yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan  fenomena perubahan iklim yang tidak menentu dengan taburan hujan tinggi pada musim kemarau sehingga menyebabkan takungan air di kawasan sawah.

“Keadaan ini menyebabkan jentera padi sukar  turun ke sawah disebabkan oleh keadaan struktur tanah yang lembut dan tidak kuat,” kata beliau selepas Majlis Penyampaian Bantuan Tanah Jerlus Bagi Kawasan MADA Wilayah 1 Perlis Tahun 2022 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E1 Simpang Empat, di sini hari ini.

Penyerahan bantuan itu  meliputi PPK A-1 Arau (81.43 hektar), PPK B-1 Kayang (171.80 hektar), PPK C-1 Kangar (138.24 hektar), PPK D-1 Tambun Tulang (23.0 hektar) dan PPK E-1 Simpang Empat (171.48 hektar).

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, isu tanah jerlus di Perlis serius dan memerlukan perhatian  semua pihak bagi memastikan hasil tanaman padi pesawah tidak terjejas.

“Kita  berharap agar kerajaan Persekutuan dapat meluluskan peruntukan bantuan kepada pesawah-pesawah di negeri ini yang terjejas disebabkan permasalahan itu,” katanya.

Selain itu, Mohd Shukri turut berharap agar pesawah-pesawah di negeri ini dapat mengikut jadual yang telah disusun oleh MADA bagi memastikan hasil tanaman mereka tidak terjejas.

Tambahnya, kebanyakan kes tanah jerlus berlaku disebabkan oleh kegagalan pesawah mematuhi jadual yang ditetapkan oleh MADA.

“Kita harap apabila pesawah mengikut jadual ditetapkan oleh MADA akan dapat menggelakkan kerugian dan memastikan hasil tanaman mereka tidak terjejas,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya