DOHA: Perancis dijangka menjuarai Piala Dunia 2022, sekali gus mengekalkan piala yang pernah dijulangnya empat tahun lalu.
Dalam aksi suku akhir, Sabtu lalu, skuad Les Bleus berjaya menempah slot ke peringkat separuh akhir selepas menyingkirkan England 2-1.
Pasukan Tricolores itu akan bertemu ‘pembunuh gergasi yang sukar diramal’ dalam Piala Dunia 2022, Maghribi, negara pertama dari benua Afrika yang berjaya mara ke kedudukan empat terakhir selepas menyingkirkan Belgium, Sepanyol dan Portugal.
Menurut laman Bonus Code Bets, Argentina dan penyandang juara dunia itu diramal berjaya mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Lusail, Ahad ini.
Perancis pula dijangka menjulang Piala Dunia buat kali ketiga selepas Itali dan Brazil.
Ramalan yang dibuat superkomputer secara terang-terangan merumuskan cara perlawanan akhir itu akan dimainkan dengan memaparkan dua bintang utama kedua-dua negara itu yang juga bermain dalam kelab sama di Paris Saint-Germain (PSG), iaitu Lionel Messi dan Kylian Mbappe akan bersaing merebut hadiah utama.
Bagaimanapun, peluang untuk Messi menjulang Piala Dunia sebagai kapten Argentina mungkin sia-sia kerana Mbappe dipilih akan membawa trofi itu pulang ke negaranya.
“Kita akan melihat perlawanan klasik Argentina dan Perancis pada 18 Disember nanti. Lionel Messi lawan Kylian Mbappe, tua lawan muda, pemenang Ballon d’Or lawan bakal pemenang Ballon d’Or. Apa yang akan berlaku?
“Malang bagi Maghribi dan Croatia yang akan tersingkir menentang pasukan lawan mereka, tetapi perjalanan Piala Dunia kedua-dua pasukan itu juga sangat menakjubkan dalam edisi kali ini,” kata laman tersebut. – Agensi/UTUSAN