PETALING JAYA: Sidang Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini akan bermula pada pukul 10 pagi dengan terlebih dahulu memilih speaker Dewan Rakyat yang baharu.
Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Johari Abdul daripada PKR bagi mengisi jawatan itu manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Dr. Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.
Selepas speaker baharu dipilih, beliau akan mengangkat sumpah dan selepas itu sidang Parlimen akan memilih timbalan speaker.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md. Nor daripada BN, dan Ahli Parlimen Lanang daripada PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan bagi jawatan timbalan speaker.
Sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama selepas PRU15 diadakan, yang juga sidang pertama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Persidangan itu akan berlangsung dua hari sehingga esok, 20 Disember.
Perkara utama sidang itu yang dijangka mencuri tumpuan ialah mengenai usul undi percaya terhadap Anwar bagi menguji keabsahan sokongan wakil-wakil rakyat terhadap beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ini selepas kontroversi perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain yang membentuk Kerajaan Pusat, apabila memasukkan klausa yang menyatakan bahawa mana-mana ahli parlimen yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan sekali gus kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.- UTUSAN