KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) akan turut memainkan peranan semak dan imbang pentadbiran kerajaan negeri ini secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, mesyuarat pertama penggal persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 menyaksikan di mana perubahan kerajaan negeri berlaku buat pertama kali dalam sejarah negeri ini.
Katanya, sejarah juga tercipta di mana tiada wakil dari kerajaan negeri terdahulu yang dipilih rakyat untuk terus berada di dewan yang mulia ini.
“Justeru, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari PN akan turut memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Kompleks DUN di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gan Ay Ling menjadi satu-satunya wakil tunggal Pakatan Harapan (PH) yang menang di Perlis selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Indera Kayangan.
14 lagi kerusi DUN lain di Perlis berjaya dimenangi oleh PN yang turut menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun di negeri ini.
Tambah Mohd. Shukri, pentadbiran kerajaan PN dalam mengalas amanah menerajui negeri ini telah memasuki genap sebulan.
“Di Dewan yang mulia ini, saya mengambil kesempatan untuk merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke bawah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, atas kepercayaan baginda kepada barisan baharu kepimpinan negeri untuk melaksanakan amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
“Kita akan berusaha meneraju, mengurus, mentadbir, melaksanakan agenda kesejahteraan untuk memaju dan membangunkan negeri Perlis ke tahap yang lebih tinggi.
“Insya-Allah, kepercayaan yang diberi akan dilaksanakan dengan ikhlas, penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh dengan kerjasama erat dari jentera perkhidmatan awam negeri ini agar hasilnya dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.-UTUSAN