KANGAR: Kerajaan negeri komited dalam memberi perhatian terhadap sektor pendidikan yang menjadi mekamisme bagi mencegah golongan mahasiswa daripada mewarisi status kemiskinan pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, dalam aspek kebajikan mahasiswa, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa melaksanakan agihan bantuan kepada mahasiswa bagi memastikan nasib mereka terbela.
Katanya, antara bantuan yang disalurkan adalah meliputi sumbangan serta-merta institusi pengajian tinggi (IPT) MAIPs secara one-off berjumlah antara RM1,200 – RM2,500.
Ujarnya, bantuan tersebut adalah bagi tujuan persediaan pelajar sepenuh masa yang tidak bekerja di mana-mana universiti atau kolej diiktiraf kerajaan melibatkan semua peringkat pengajian.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi Bantuan Dermasiswa Tahunan kepada pelajar Perlis di Timur Tengah sebanyak RM6,000 dan RM11,000 bagi pelajar di Jordan.
“Pelajar yang mendapat Biasiswa Tinggi Pendidikan MAIPs di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) turut menerima tajaan yuran dan wang saku bulanan,” katanya dalam Sidang DUN Perlis di sini hari ini.
Muhammad Azmir berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji-PN) berhubung perancangan dan tawaran kebajikan kerajaan negeri kepada mahasiswa dalam negeri Perlis seperti bantuan pendidikan, kewangan, perubatan serta kecemasan.
Selain itu, Muhammad Azmir berkata, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Bidang Sastera juga boleh mendapat pinjaman daripada kerajaan negeri sehingga RM6,500 setahun.
Katanya, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Bidang Sains pula menerima pinjaman sehingga RM7,000 setahun bagi tempoh pengajian maksimum selama empat tahun.
Ujarnya, mahasiswa Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) pula boleh menerima pinjaman sebanyak RM10,000 setahun bagi tempoh pengajian maksimum selama dua tahun.
“Sehingga 2022, sebanyak 134 orang pelajar telah menerima manfaat bantuan ini dengan peruntukan sebanyak RM248,000 di bawah kerajaan negeri,” katanya.
Tambah beliau, Tabung Bantuan Segera (TBS) bagi bantuan kecemasan untuk kes-kes yang berkelayakan dan layak menerima sumbangan juga turut diwujudkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.
“Bagi golongan yang kurang berkemampuan, bantuan kos rawatan tertentu akan dirujuk kepada Tabung Bantuan Perubatan melalui Unit Kerja Sosial Perubatan bagi bantuan psikososial dan kos rawatan akan dirujuk kepada agensi berkaitan atau MAIPs bagi tujuan pembayaran kos perubatan,” katanya.-UTUSAN