Sidang DUN Perlis: Kaji semua buka pintu sempadan Kuala Perlis

Sidang DUN Perlis: Kaji semula buka pintu sempadan Kuala Perlis-Thailand

ABU Bakar Hamzah berbahas dalam sidang DUN Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri dicadang mengkaji semula pembukaan pintu sempadan laut Kuala Perlis, Malaysia ke Wilayah Satun, Thailand bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

Sejak pintu sempadan itu ditutup kira-kira 10 tahun lalu, Kuala Perlis semakin suram dan kurang mendapat limpahan ekonomi seperti kawasan-kawasan lain berikutan tidak lagi menjadi tumpuan peniaga khususnya dari negara jiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kawasan itu suatu ketika dahulu pernah menjadi antara pelabuhan antarabangsa terkenal memandangkan kedudukannya bersebelahan dengan Thailand. 

“Kedudukan Kuala Perlis dengan Wilayah Satun hanya mengambil masa kira-kira 10 ke 15 minit dan sewajarnya pintu sempadan ini dibuka kembali bagi merancakkan semula ekonomi penduduk di sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mencadangkan agar perkhidmatan kapal persiaran antarabangsa dari Kuala Perlis-Satun-Koh Lipe turut diwujudkan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk singgah ke Perlis.

Katanya, kekerapan perkhidmatan kapal itu juga mungkin boleh disediakan bagi tempoh tertentu seperti dua kali seminggu untuk kemudahan pelancong.

“Saya juga telah dihubungi oleh operator pelancongan dan mereka meminta agar pelaksanaan ini dapat dijayakan memandangkan ia berpotensi untuk menarik pelancong luar di samping turut memajukan negeri ini,” katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga berharap agar Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dapat diberikan pengiktirafan sebagai tapak warisan selepas ini demi manfaat penduduk di kawasan itu. 

Beliau berkata, sekiranya kampung itu diiktiraf sebagai tapak warisan, penduduk di sana akan mendapat peruntukan antaranya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan beberapa agensi lain menerusi bantuan geran dan sebagainya.

“Usaha bagi membangunkan Kampung Warna-Warni Seberang Ramai itu juga selaras dengan hasrat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi membangunkan kawasan itu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya