PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui dirinya tersalah menyusun ayat dalam hantaran di Facebooknya melibatkan rundingan kerjasama melalui kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dirinya mengakui bahawa hantaran terbabit menimbulkan kekeliruan perspektif sebenar dan menyebabkan sesetengah media melaporkan rundingan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Saifuddin ingin menegaskan bahawa rundingan pembentukan kerajaan antara kedua-dua parti hanya berlaku selepas keputusan PRU15.
“Biarpun begitu, saya mempunyai hubungan peribadi dengan pemimpin BN yang mana kami sudah berkawan sejak dulu lagi dan kini, mereka menjadi pemimpin dalam parti BN. Hubungan peribadi ini bersama watak utama politik ‘non PH’ (bukan PH) sudah lama berjalan.
“Terima kasih kepada pihak media yang bertanyakan perkara ini dan ini membantu saya memberikan perspektif lebih tepat mengenai hantaran berkenaan. Nanti saya akan perbaiki susunan ayat dalam hantaran di media sosial supaya perspektif lebih tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pertama menteri di pejabatnya hari ini.
Pada 4 Disember lalu, Saifuddin dalam perkongsian menerusi Facebook mengundang pelbagai persepsi terhadap PH dan BN, mengaku usaha membina kerjasama dengan pemimpin BN sudah lama direncanakan PH.
“Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 diketahui pada 19 November lalu.
“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri. Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding.
“Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar yang ikut mendukung pendekatan ini. Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh. Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR,” katanya. –UTUSAN