DOHA: Fernando Santos menegaskan beliau tidak menyesal apabila sekali lagi meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan ketika pasukan bimbingannya tewas kepada Maghribi dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, semalam.
Setelah menyisihkan Ronaldo ketika menang 6-1 ke atas Switzerland dalam pusingan 16 terbaik, Santos sekali lagi mempertaruhkan skuad yang sama selepas Goncalo Ramos meledak hatrik dan menjadi pengganti terbaik kepada bekas bintang Manchester United itu.
Bagaimanapun, selepas Youssef En Nesyri meletakkan Maghribi di depan pada separuh masa pertama, Santos mengambil keputusan memasukkan Ronaldo pada awal babak kedua, namun kemasukan pemain berusia 37 tahun itu tidak banyak memberi kesan.
Kekalahan itu menyaksikan bintang dan ikon bola sepak Portugal itu keluar dari padang sambil menangis semasa berjalan ke bilik persalinan selepas peluang terakhirnya untuk menjulang Piala Dunia dalam karier terpadam di Qatar.
Di sebalik keputusan tidak menyenaraikan Ronaldo dalam kesebelasan utama, Santos tetap mempertahankan keputusannya berhubung pemilihan pemain.
“Tiada penyesalan. Saya percaya ini adalah pasukan yang bermain dengan sangat baik menentang Switzerland. Ronaldo adalah pemain yang hebat. Dia datang apabila kami rasa itu perlu,” kata Santos.
Pada masa yang sama, Santos mengakui beliau kecewa apabila Portugal gagal melepasi pusingan suku akhir di Piala Dunia Qatar 2022 setelah dikejutkan Maghribi yang sebelum ini tidak diletakkan harapan tinggi.
Bagaimanapun, beliau memuji semangat juang para pemainnya seperti Joao Felix dan Pepe yang tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol.
“Sudah tentu para pemain kami tertekan, mereka kecewa… Kami lebih kecewa apabila mengetahui pasukan dibarisi para pemain yang mahir dan berkualiti gagal menghadiahkan kegembiraan kepada rakyat Portugal.
“Kami tahu cabaran yang bakal dihadapi, terutamanya dari segi strategi bertahan. Kami cuba menyukarkan perlawanan untuk lawan kami tetapi kami tidak berjaya.
“Jelas sekali kami juga perlu memberi kredit kepada para pemain Maghribi. Saya rasa tidak adil untuk kami kalah tetapi itulah bola sepak,” katanya. – Agensi/UTUSAN