SEREMBAN: Runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian di sini diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk menyebabkan runtuhan lebih besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan, Datuk Razali Ab. Malik berkata, runtuhan cerun tersebut berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut seterusnya berlaku pergerakan.
“Terdapat 12 buah rumah di Jalan Berlian 5, Taman Berlian dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang. Berdasarkan penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), rumah yang terlibat adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki.
“Sebarang pergerakan keluar masuk tanpa autoriti adalah di bawah risiko masing-masing dan pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Razali, semua penduduk terlibat bersetuju untuk keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja-kerja baik pulih cerun selesai dilaksanakan
“Ini bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa dan perpindahan keluar penduduk selesai pada pukul 6 petang semalam,” katanya.
Jelas beliau, hujan lebat pada sebelah petang dan pemantauan di tempat kejadian pada pukul 8 malam semalam mendapati, tanah semakin mendap dan rekahan menjadi lebih besar.
“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038.
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, buat masa sekarang pihak polis telah menutup kawasan tersebut untuk kerja-kerja baik pulih.
“MBS meminta warga bandar raya agar tidak menutup longkang bagi mengelakkan longkang tersumbat dan seterusnya menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh,” katanya yang turut melawat lokasi kejadian bersama pegawai MBS.
Semalam, media melaporkan, tiga buah kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, jalan di hadapan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 turut merekah sepanjang kira-kira 80 meter dengan kedalaman mencecah 0.6 meter. –UTUSAN