DOHA: Pemain legenda Brazil, Ronaldo memilih Perancis sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2022 berbanding Argentina yang masih dirasakannya sebagai musuh utama The Selecao.
Ikon bola sepak itu enggan memberi sokongan kepada negara berjiran Amerika Selatan itu sekalipun jika memenangi Piala Dunia buat kali ketiga.
“Saya tidak mahu menjadi hipokrit mengatakan akan gembira untuk Argentina tetapi akan hargai siapa sahaja juaranya.
“Sejak awal kempen Piala Dunia, jangkaan pasukan yang akan bermain di perlawanan akhir adalah Perancis dan Brazil tetapi kami sudah tersingkir.
“Perancis semakin menguatkan lagi status mereka sebagai pasukan pilihan dan saya masih melihat Les Bleus sebagai pasukan paling digemari,” katanya.
Piala Dunia kali ini mungkin menjadi siri terakhir buat kapten Argentina, Lionel Messi untuk melengkapkan ‘kabinet trofinya’ yang masih tidak lengkap dengan piala berprestij tersebut.
Sementara itu, Ronaldo turut menjangkakan Perancis dapat mengekang Maghribi daripada terus membuat kejutan untuk mendapatkan tiket ke final.
“Kalau boleh saya memang mahu Maghribi menang tetapi pasukan Perancis lebih padu sama ada dari segi pertahanan, serangan mahupun tengah,” kata pemilik dua anugerah Ballon d’Or itu.
Tambahnya, dia kagum dengan bintang muda Perancis, Kylian Mbappe yang menunjukkan permainan memberangsangkan selaku peneraju penjaring kejohanan dengan lima gol.
“Dia tahu macam mana nak guna kemahirannya, bagaimana nak menjadi lebih laju daripada pemain lain dan beliau guna kelebihannya itu untuk melakukan umpanan atau jaringan. Beliau ada masa, bakat dan sedang dahagakan untuk membolot semua, itu sudah pasti,” jelasnya.
Ronaldo turut mengucapkan tahniah kepada Maghribi menjadi pasukan pertama Afrika mara ke separuh akhir. – Agensi/UTUSAN