AL RAYYAN, Qatar: Bermain merebut tempat ketiga Piala Dunia pastinya tidak seperti beraksi di final, malah kekecewaan tewas di separuh akhir masih dirasai oleh kedua-dua pasukan di peringkat tersebut.
Perbezaan ketara jumlah wang kemenangan tempat ketiga dan keempat akan menjadikan perlawanan Croatia dan Maghribi penting buat mereka pada malam ini.
Kedua-dua pasukan pastinya tidak akan bermain sambil lewa memandangkan pemenang tempat ketiga akan membawa pulang pingat dan wang kemenangan berjumlah AS$27 juta dolar (RM119.4 juta) berbanding tempat keempat yang hanya meraih AS$25 juta dolar (RM110.6 juta).
Lebih menarik kedua-dua pasukan telah bertemu pada peringkat kumpulan dan terikat tanpa jaringan.
Croatia dan Maghribi juga ‘kebal’ tanpa kalah sebelum rekod itu musnah pada separuh akhir selepas masing-masing tewas kepada Argentina 3-0 dan Perancis 2-0.
Hadiah keseluruhan Piala Dunia Qatar adalah AS$440 juta dolar (RM1.9 bilion) namun perbezaan ketara melibatkan tempat ketiga dan keempat.
Dari segi prestij, perlawanan tersebut memiliki nilainya lebih rendah daripada final, buktinya peminat-peminat lebih mengingati dua gol jaringan Ronaldo ketika membantu Brazil pada 2002 merangkul trofi kelima Piala Dunia berbanding pemenang tempat ketiga ketika itu adalah Turki.
Untuk bermain perlawanan ketujuh dalam tempoh tiga minggu, tidak begitu menarik minat jurulatih Croatia mahupun Maghribi termasuk juga pemain yang keletihan.
Bagi Maghribi, pemulihan fizikal sukar sama seperti mental kerana pasukan itu berdepan beberapa siri kecederaan dan hanya mempunyai tempoh kurang sehari berbanding Croatia dalam mempersiapkan pasukan.
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata, pasukannya telah kehilangan ramai tonggak akibat cedera. – Agensi/UTUSAN