Rasuah RM164,800, guru besar sekolah agama mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Rasuah RM164,800, guru besar sekolah agama mengaku tidak bersalah

KAMALUDIN Sahlan (kanan, bertopi) selesai mendengar pertuduhannya dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang guru besar sebuah sekolah rendah agama (SRA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM164,800.

Tertuduh, Kamaludin Sahlan, 50,meminta untuk dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah sebaik  kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta daripada seorang individu rasuah sebanyak 11 peratus daripada nilai projek sebagai dorongan baginya membantu mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Pertuduhan kedua, Kamaludin didakwa menerima secara rasuah daripada individu berkenaan wang suapan berjumlah RM164,800 melalui akaun CIMB Islamic miliknya sebagai dorongan untuk tertuduh membantu Romzi mendapatkan kerja-kerja berkenaan.

Kamaludin didakwa melakukan kesalahan itu di No. 33, Jalan Duku 5, Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan CIMB Islamic Bank Bhd Cawangan Kota Kemuning, Shah Alam antara Mei 2019 dan 12 Jan hingga 21 April 2021.

Dia yang kini bertugas di Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Aliff Shaharuzaman  menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diminta menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan tempat tinggalnya pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh yang diwakili peguam,  Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan l dengan seorang penjamin.

Rozilah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Januari tahun depan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya