KOTA BHARU: Situasi banjir di Rantau Panjang boleh disifatkan ‘kritikal’ ketika ini apabila kawasan itu hanya boleh diakses menggunakan bot dan lori seberat 20 tan sahaja.
Ia susulan Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang ditutup kepada semua jenis kenderaan kecuali lori seberat 20 tan selepas ia ditenggelami banjir sedalam 1 hingga 2 meter.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Kampung Kedai Lama, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 45, berkata, situasi itu menyebabkan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 berdepan kesukaran untuk mendapatkan sumber air bersih.
Katanya, hal ini kerana bekalan elektrik yang ditutup menyebabkan pam yang berada di PPS itu tidak dapat berfungsi.
“Buat masa ini, kami terpaksa ‘mencatu’ air bersih dan ia hanya digunakan untuk minum dan memasak oleh pengusaha kantin yang bertindak sebagai penyedia makanan. Bagaimanapun bekalan makanan masih lagi mencukupi.
“Semalam, ada lori yang datang menghantar bekalan makanan untuk mangsa banjir di PPS ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohamad Naziz memberitahu, dia turut mendapat makluman ada dalam kalangan penduduk mengalami masalah gangguan talian telefon.
Katanya, ketika ini dia bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan telco dari negara jiran untuk mendapatkan akses internet bagi mengetahui perkembangan semasa banjir.
Sementara itu, Nasran Nasuha, 21, berkata, paras air Sungai Golok masih lagi bertahan dan berada di tahap bahaya.
Katanya, ketika ini bandar Rantau Panjang sudah ditenggelami air.
Dalam perkembangan lain Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, situasi banjir di Rantau Panjang masih lagi terkawal dan boleh diekes menggunakan bot serta lori 20 tan.
Katanya, polis sentiasa memantau situasi terkini bagi operasi menyelamat berjalan lancar. –UTUSAN