ROMPIN: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nor Idayu Hashim selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok pukul 8.26 pagi hari ini.
Beliau yang juga Ketua Muslimat Pas Cawangan Pianggu mengundi di saluran dua di sekolah terbabit.
Selesai mengundi, Nor Idayu sempat beramah mesra bersama pengundi di pusat mengundi itu sebelum beredar kira-kira pukul 8.50 pagi.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Hussain; calon Bebas, Sulaiman Bakar; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly; dan Nor Idayu.
Kawasan ini mempunyai seramai 28,462 pengundi dengan kira-kira 84 peratus adalah Melayu sekali gus menjadi penentu sama ada BN yang tidak pernah kalah di situ dapat mempertahankan DUN Tioman atau tumbang buat kali pertama. –UTUSAN