SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dilihat perlu diadakan secara bersama selepas habis tempoh penggal masing-masing.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, memang terdapat perbincangan dan persetujuan tidak rasmi di antara keenam-enam ketua negeri tersebut supaya PRN diadakan secara serentak.
“Kami ada pertemuan tidak rasmi pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini, Alhamdulillah, semua bersetuju untuk (PRN) diadakan sekali.
“(Tetapi) itu di peringkat menteri besar, kami (Pakatan Harapan) ada Majlis Presiden dan mereka (Pas) juga ada presiden yang perlu mereka rujuk. Bagaimanapun, di peringkat awal, kami setuju diadakan bersama dan mesej ini akan disampaikan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing,” katanya.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Keenam-enam negeri yang belum membubarkan DUN masing-masing adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Sementara itu, ditanya berhubung terdapat cadangan untuk negeri-negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) membubarkan DUN lebih awal iaitu dalam masa terdekat, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan tetap berpandangan untuk PRN dijalankan selepas tamat penggal.
“Kalau boleh biarlah sehingga habis penggal, ikut perbincangan awal juga sehingga habis penggal. Jika tidak letih, tidak henti-henti pilihan raya.
“Lebih mudah juga sekiranya PRN diadakan secara bersama, daripada segi kos, ia juga dapat dijimatkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, berhubung kedudukan kerjasama di antara PH dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN akan datang, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR percaya ia akan diputuskan tidak lama lagi.
“Selepas ini sebelum berlangsung persidangan di Parlimen (Dewan Rakyat) akan ada mesyuarat parti-parti, di situ kita akan tahu hala tuju parti dalam PH bersama rakan-rakan yang turut sama menubuhkan kerajaan perpaduan,” katanya.-UTUSAN.