Polis Johor halang pertaruhan libatkan kredit limit cecah RM10.10 juta  - Utusan Malaysia

Polis Johor halang pertaruhan libatkan kredit limit cecah RM10.10 juta 

KAMARUL Zaman Mamat (dua dari kanan) melihat rampasan kertas perjudiaan bola sepak Piala Dunia dalam OP Soga IX dalam sidang media di IPK, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 58 ejen atau bookie perjudian dalam talian Piala Dunia Qatar 2022 kempunan menikmati hasil pertaruhan melibatkan had kredit lebih RM10.10 juta apabila mereka diberkas dalam Ops Soga IX di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu yang diberkas itu terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia antara 18 sehingga 70 tahun.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil tindakan tegas serta risikan pihaknya yang menjalankan operasi bermula 21 November hingga 18 Disember lalu.

“Fokus utama Op Soga IX adalah mencegah dan membanteras sebarang perjudian atau pertaruhan yang melibatkan Kejohanan Piala Dunia Qatar 2022. 

“Polis Johor berjaya menahan seramai 58 lelaki yang bertindak sebagai ejen atau bookie kepada sindiket perjudian melibatkan kredit limit keseluruhan RM10,104,998,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya merampas wang tunai RM35,710 serta SGD500 (RM1,635), dua set komputer dan 59 buah telefon pintar pelbagai jenama beserta kad sim selain sebuah memo pad.

Tegasnya, sebanyak 13 laman sesawang perjudian dikenal pasti dan diajukan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(d), Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau memberitahu, bermula 1 Januari sehingga 18 Disember lalu, Polis Johor melakukan 2,266 serbuan membabitkan 2,930 tangkapan melibatkan aktiviti perjudian.

“Dalam tempoh sama sebanyak RM867,177 wang tunai serta 1,211 unit telefon bimbit pelbagai model dirampas,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya