Pertandingkan jawatan Presiden UMNO, timbalan

Pertandingkan jawatan Presiden UMNO, timbalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO perlu membuka jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain untuk dipertan­dingkan dalam pemilihan parti tahun depan sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak ada sebab untuk UMNO menyekat pemilihan terhadap jawatan tertinggi parti kerana ia bertujuan memilih pemimpin dan ia adalah sihat untuk parti.

Katanya, walaupun kedua-dua jawatan itu pernah dimenangi tanpa bertanding oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, tidak bermakna ia tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

“Bila pilih pemimpin melalui pemilihan, baru parti boleh tentukan hala tuju. Takkan nak sekat. Ini demokrasi, ini caranya untuk hidupkan dan mekarkan kembali UMNO,” katanya ketika dihubungi.

AKAR UMBI

Justeru, katanya, kedua-dua jawatan itu perlu dibuka kepada semua kerana ia turut melibatkan suara akar umbi parti.

“Siapa yang boleh bertanding dan tawarkan diri, dia layak untuk bertanding. Yang nak mengundi ramai, jadi kena teruskan amalan ini,’’ katanya ketika dihubungi.

Kali terakhir jawatan presiden dipertandingkan adalah pada 2018 yang dimenangi oleh Ahmad Zahid menewaskan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah manakala Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan timbalan presiden setelah menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, jawatan presiden pernah dimenangi tanpa bertanding apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menang pada pemilihan 1990, 1993, 1996 dan 2000 selepas kali terakhir dicabar oleh Tengku Razaleigh pada 1987.

Tradisi itu diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menang tanpa bertanding pada 2004 dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 dan 2013.

Jawatan timbalan presiden juga pernah dimenangi tanpa bertanding oleh Tun Ghafar Baba pada 1990, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1996), Abdullah (2000), Najib (2004) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2013).

PERLEKEH

Sementara itu, Puteri UMNO Bahagian Ledang menyifatkan cadangan agar jawatan utama terutamanya presiden tidak dipertandingkan sebagai memperlekehkan kebolehan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Ketua Puterinya, Nadhirah Afiqah berkata, adalah mustahil Ahmad Zahid berasa gentar untuk menghadapi apa-apa cabaran dalam pemilihan parti malah pastinya akan mempertahan dan melindungi asas demokrasi dalam UMNO.

Menurutnya, cadangan membawa usul dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 agar beberapa jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada tahun hadapan dilihat hanyalah satu tindakan membodek kepemimpinan tertinggi UMNO.

“Ia bukanlah pendirian lebih tiga juta ahli UMNO di seluruh negara yang mahu melihat demokrasi dalam UMNO dihidup dan disuburkan semula selepas penangguhan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum ini bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Jika sebelum ini alasan penangguhan pemilihan adalah disebabkan tidak mahu berlaku perpecahan, sekarang PRU15 sudah berlalu dan proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO ini dihormati dan dipatuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya