Penjawat awam sudah lama tak merasa bonus -Cuepacs

Penjawat awam sudah lama tak merasa bonus -Cuepacs

PENJAWAT awam menuntut pemberian bonus dari kerajaan yang sudah sekian lama tidak dirasai – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam terutamanya dalam bajet mini yang dijangka dibentang, 19 Disember ini. 

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam terutamanya di peringkat Kerajaan Persekutuan sudah lama tidak merasa pemberian bonus. 

“Kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu hanya bantuan khas kewangan yang diberikan. 

“Cuepacs yakin YAB Perdana Menteri boleh melihat perkara ini melalui bajet yang akan dibentangkan semula kelak dengan sekurang-kurangnya bonus satu setengah bulan gaji wajar diberikan kepada penjawat awam. 

“Perkara ini pernah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika menjadi Menteri Kewangan satu ketika dahulu,” katanya. 

Terdahulu, Cuepacs meminta kerajaan mengekalkan segala insentif baik yang diumumkan kerajaan terdahulu melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

Antara insentif itu adalah kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56, Kenaikan kadar maksimum gantian cuti rehat daripada 160 hari ke 180 hari dan tambahan kadar cuti rehat khas sebanyak lima hari untuk pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Selain itu, insentif itu merangkumi cuti tanpa rekod (urusan kematian) diperluas kepada adik beradik, nenek dan datuk, tambah baik kadar tetap 3 peratus semasa bagi pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada satu kadar baharu dan bantuan khas kewangan sebanyak RM700 (Gred 56 kebawah) dan RM350 untuk pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen.

Adnan berkata, insentif itu wajar dikekalkan oleh kerajaan memandangkan ia suatu perkara baik dalam menjaga kebajikan semasa penjawat awam yang terhimpit dengan isu peningkatan harga barangan dan kos sara hidup lain.

Beliau berkata, insentif itu sudah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam dan adalah tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana berlakunya perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan. 

“Cuepacs tidak mahu perkara yang sama terjadi pada tahun 2018 dahulu apabila banyak perkara yang dijanjikan oleh kerajaan untuk penjawat awam tidak dilaksanakan hanya kerana disebabkan perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan. 

“Harus difahami walaupun perubahan yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan, majikan bagi penjawat awam tetap sama iaitu kerajaan semasa yang memerintah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat menambah baik sistem perkhidmatan awam serta insentif sedia ada yang diterima oleh penjawat awam. 

“Antara perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan ialah memperkenalkan sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam melalui bajet 2023 dengan penetapan gaji minimum bermula RM1800 sebulan. 

“Umum sedia maklum bahawa kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam adalah berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002 yang hanya ditambahbaik apabila Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 2012 dibatalkan. 

“Sepatutnya kerajaan seharusnya memperkenalkan sistem saraan baharu setiap 10 tahun bagi memastikan ianya sesuai digunakan mengikut persekitaran ekonomi semasa negara,” katanya. 

Beliau menambah, Cuepacs juga mencadangkan pemberian dua KGT khas untuk semua penjawat awam dapat dilakukan oleh kerajaan berikutan peningkatan harga barangan yang amat mencengkam penjawat awam pada masa sekarang. 

Katanya, KGT khas RM100 tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup dengan belian barangan asas dianggarkan meningkat kepada RM115 berdasarkan kajian daripada Jabatan Perangkaan. 

“Tinjauan yang dilaksanakan sendiri oleh Cuepacs mendapati kos perbelanjaan bagi pembelian barangan asas meningkat RM140 sebulan. Pemberian dua KGT khas ini boleh membantu penjawat awam menikmati kualiti hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

“Besarlah harapan warga penjawat awam agar Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan terhadap cadangan yang dikemukakan Cuepacs. 

“Cuepacs yakin dengan ruang dan sokongan yang diberikan oleh perkhidmatan awam membolehkan usaha Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara dapat dilakukan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya