RAUB: Kejadian tanah runtuh di cerun bukit di kawasan jalan belakang sebuah bank di sini kira-kira pukul 2.45 petang hari ini mengejutkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan mahu pun kerosakan harta benda dalam insiden itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, runtuhan tanah itu dianggarkan membabitkan tebing setinggi kira-kira 10 sehingga 15 meter.
“Difahamkan, tanah runtuh itu berlaku di cerun bukit dengan keluasan kira-kira 30 meter persegi.
“Kejadian tersebut menjejaskan hampir keseluruhan laluan jalan di belakang bangunan terbabit.
“Setakat ini, pasukan bomba selesai membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi itu bagi memastikan kawasan tersebut betul-betul selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulfadli berkata, pihak JBPM sedia untuk menjalankan pemantauan situasi berkenaan dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati cuaca agak mendung dari awal pagi hingga ke tengahari ketika kejadian itu berlaku.
“Namun begitu, pemantauan terus dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dalam keadaan cuaca tidak menentu ini,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, seramai lapan anggota termasuk pegawai JBPM dari Balai Bomba Raub dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan itu.
“Orang ramai diharap segera menghubungi pihak berkuasa jika terdapat tanda awal kemungkinan berlaku runtuhan tanah atau tebing di kawasan mereka untuk memudahkan pemantauan dilakukan dengan segera,” katanya.-UTUSAN