SEREMBAN: Penduduk di Kampung Bemban, Pantai, di sini mengakui sudah penat apabila rumah mereka kerap kali dilanda banjir sehingga mengakibatkan kelengkapan rumah turut rosak.
Seorang penduduk Mohd. Fahmi Mohd. Saad, 30, berkata, sudah lapan kali rumahnya mengalami banjir sejak tinggal menyewa di situ lapan tahun lalu dan dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam air naik setinggi 1.5 meter.
“Tahun ini sahaja sudah dua kali rumah dinaiki air, pertama awal bulan lalu dan kali kedua banjir semalam sehingga paras dada.
“Masa kejadian saya tengok air dari belakang rumah naik dan cuba selamatkan barang-barang penting serta bawa keluarga menumpang di rumah anak yatim yang agak tinggi terletak berdekatan rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bemban di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fahmi, ketika banjir petang semalam dia berada di rumah bersama enam ahli keluarga lain termasuk isteri, ayah dan anak-anak.
“Kalau diikutkan sedih memang sedih, paling teruk banjir masa bulan November tahun lalu, habis semua barang musnah,” katanya.
Mohd. Fahmi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia buntu memikirkan hutang yang perlu dibayar memandangkan barang elektrik dan kelengkapan rumahnya sudah rosak.
“Memang sudah penat dengan banjir ini tetapi hendak buat macam mana dugaan kami, harap kerajaan dapat dalamkan lagi sungai bagi mengelak banjir teruk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ramlah Wati Ramli, 43, berkata, dalam kejadian banjir petang semalam dia keluar mengambil anaknya di sekolah sebelum menyedari air sudah naik sebaik tiba di rumah.
“Air naik dengan cepat dalam tempoh dua jam dan rumah saya yang berada di tengah naik terlalu tinggi, saya terus keluar sambil mendukung anak. Rumah memang musnah sepenuhnya, memang fikir mahu selamatkan anak sahaja dan barang-barang lain tidak sempat,” katanya yang menyewa di rumah itu sejak sembilan tahun lalu.
Seorang penduduk di Kampung Gayan, Pantai, Halimah Ahmad, 69, turut berharap supaya pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera mendalamkan Sungai Linggi yang terletak dekat dengan kediaman penduduk yang terjejas.
“Sungai ini semakin cetek dan apabila hujan lebat dalam tempoh yang lama memang akan menyebabkan air sungai melimpah sekelip mata sekali gus menjejaskan rumah penduduk.
“Perkara ini sudah kerap kali diajukan namun tindakan mengorek pasir sungai masih belum dilakukan. Banjir sudah kerap berlaku, paling teruk pada bulan Disember tahun lalu dan belum hilang penat mengemas untuk kejadian itu, ia berlaku lagi,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, kira-kira 105 orang mangsa terjejas banjir yang berlaku di mukim Pantai di sini petang semalam.
“Terdapat 17 buah rumah terjejas di kawasan Batu 7, Pantai iaitu melibatkan Kampung Bemban, Kampung Jerlang dan Kampung Bukit Kubot manakala di Batu 9, Pantai, terdapat juga 17 buah rumah turut terjejas iaitu di Kampung Gayan, Kampung Mayor dan Kampung Pajam,” katanya
Dalam pada itu, tinjauan pemberita hari ini mendapati, pihak anggota keselamatan termasuk anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia serta sukarelawan turun padang membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terlibat.-UTUSAN.