LIPIS: Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera parah apabila lori yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8, Jalan Sungai Koyan-Raub di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu membabitkan sebuah lori jenis Isuzu membawa muatan kotak kosong dipandu oleh S. Tharvin, 23, beralamat di Kampung Baru Ringlet, Cameron Highlands, dekat sini.
Tharvin meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis manakala kelindan lori itu, R. Ravichanran, 23, patah patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kluang, Johor menuju ke Cameron Highlands.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan melanggar pokok sawit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, akibat kemalangan itu, pemandu lori meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis manakala kelindan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori gagal mengawal kenderaan berat itu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Bedah siasat untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ujarnya, siasatan di tempat kemalangan mendapati keadaan jalan lurus, sistem jalan satu lorong dua hala, garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong, jalan berturap tar dan cuaca baik. –UTUSAN