ISKANDAR PUTERI: Dalam memperkasakan masyarakat rendah karbon, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan ‘Greater Johor Bahru’ digalakkan mengguna pakai kenderaan elektrik (EV) pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu selari dengan salah satu agenda utama yang terkandung dalam ‘Greater Johor Bahru’ ke arah mencapai masyarakat rendah karbon.
Beliau berkata, walaupun pada peringkat permulaan, penggunaan EV menelan kos yang tinggi, namun, langkah itu perlu bermula dari sekarang.
Menurutnya, PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
“Kita sedia maklum bahawa pada tahun mendatang, kita akan galakkan PBT menggunakan EV. Di Singapura, mereka akan menggunakan 100 peratus EV ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dan kita tak boleh ketinggalan.
“Di peringkat kita dalam kawasan ‘Greater Johor Bahru’ ini, penggunaan EV melibatkan jumlah yang kecil pada peringkat permulaan dengan sebanyak lima buah kenderaan bagi setiap PBT.
“Kita sasarkan jumlah yang lebih lagi pada masa akan datang, namun, sasaran itu masih belum dimuktamadkan,” katanya selepas merasmikan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon di Sunway Big Box, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.
Selain menggalakkan penggunaan EV, Mohd. Jafni memberitahu, pihaknya memberi tumpuan terhadap perkhidmatan sokongan EV seperti memperbanyakkan stesen pengecasnya.
Beliau berkata, perbincangan ke arah itu sedang dibuat malah gerak kerja penambahan stesen pengecas itu sedang dilakukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi program kesedaran dengan penganjuran aktiviti di peringkat sekolah yang melibatkan pelbagai agensi.
Pelaksanaan Program Pendidikan Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) adalah inisiatif yang baik dalam mendidik pelajar tentang tanggungjawab mengenai aktiviti yang merendahkan karbon di negeri ini.
“Program ini berjaya mencapai matlamatnya dengan mendapat penglibatan lebih 100,000 pelajar dari 908 buah sekolah di negeri ini. Ia signifikan melahirkan masyarakat rendah karbon untuk kelestarian masa depan,” katanya. –UTUSAN