KULIM: Terdapat pengundi tidak sedar ada calon menarik diri daripada bertanding di Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.
Ramai memaklumkan tidak menerima pemakluman berhubung perkara itu selain tidak perasan dengan laporan media yang menyebut tentang penarikan diri berkenaan.
Penuntut universiti, Azieza Nour Afifah Azman Zahidi, 20, berkata, dia hanya hadir untuk memangkah calon pilihannya di pusat mengundi selepas pertama kali layak berbuat demikian.
“Saya sebenarnya teruja untuk mengundi kerana ini kali pertama saya bergelar pengundi apatah lagi kebetulan sekarang adalah cuti pertengahan semester.
“Saya baru balik ke kampung di Kampung Tunku Putra, di sini pada Jumaat lalu dan tidak tahu ada calon tarik diri,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi, di sini hari ini.
Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak.
Bagaimanapun, nama kedua-dua mereka tetap tertera pada kertas undi memandangkan penarikan diri hanya dibuat selepas proses penamaan calon pada 24 November lalu.
Proses pengundian di kerusi itu ditangguhkan ke hari ini susulan kematian calon PH, mendiang M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu pada 16 November lalu.
Sementara itu, seorang pekerja kilang, Norizayu Azli, 19, juga memaklumkan dia juga tidak mengetahui ada calon menarik diri.
“Saya tidak dengar pula ada orang tarik undi, saya hanya datang mengundi seperti biasa dan tidak tahu sama ada calon yang saya pilih itu menarik diri atau tidak,” katanya.
Manakala suri rumah, Fauziah Desa, 58, berkata, dia mungkin terlepas maklumat itu memandangkan kini tinggal dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
“Saya undi untuk Parlimen Padang Serai kerana dulu menyewa di sini tetapi tujuh anak yang sudah mengundi pada 19 November lalu mengundi di Parlimen Kulim-Bandar Baharu,” ujarnya.- UTUSAN