HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm (FOF) di Jalan Batang Kali – Genting Highlands yang memasuki hari keempat disambung pagi ini.
Operasi yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dimulakan pada pukul 8 pagi.
Sehingga kini tiada spenemuan mangsa diumumkan pasukan penyelamat selepas dua jam operasi disambung hari ini.
Operasi mencari semalam menyaksikan jumlah individu yang dilaporkan hilang kekal sembilan orang dengan 24 mangsa maut sehingga SAR ditamatkan pada pukul 8.15 malam akibat hujan lebat dan kabus tebal di lokasi kejadian.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang.- UTUSAN