KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menangguhkan buat sementara waktu tindakan kunci tayar kenderaan di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 berkuat kuasa semalam.
Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, penangguhan tindakan itu ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak itu selari dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengatakan undang-undang tersebut tidak sah.
“Kita (MPKB-BRI) akur dengan keputusan mahkamah tersebut. Bagaimanapun, MPKB-BRI menerusi panel peguam pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz untuk memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes tersebut.
“Selepas itu kita akan membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia online semalam melaporkan undang-undang mengunci tayar terhadap kenderaan di dalam petak parkir yang dikuatkuasakan MPKB-BRI sejak 22 tahun lalu diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan semalam.
Perkara itu diputuskan oleh tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang selepas mendapati undang-undang itu bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Hashim dalam penghakimannya secara dalam talian bersetuju bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) MPKB-BRI 2000 iaitu kuasa MPKB-BRI mengunci tayar terhadap kenderaan tidak membayar parking turut bertentangan dengan Seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Keputusan itu diputuskan berdasarkan kes yang difailkan oleh seorang kerani, Nursyafawati Kasim,33, selepas kereta jenis Perodua Myvi miliknya dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini tiga tahun lalu.- UTUSAN