DOHA: Luka Modric yang mengetuai Croatia meraih tempat ketiga Piala Dunia Qatar akan meneruskan kerjaya antarabangsanya sehingga 2023 termasuk menyahut cabaran Liga Negara-Negara UEFA.
Pemain berusia 37 itu meraikan penampilan ke-162 di peringkat antarabangsa menang 2-1 ke atas Maghribi empat tahun selepas membantu negaranya muncul naib juara Piala Dunia di belakang Perancis.
Croatia kini cuba memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA, Jun depan dalam perlawanan yang turut disertai Belanda, Itali dan Sepanyol.
“Saya fikir masih mampu beraksi pada tahap yang tinggi dan mahu meneruskan sekurang-kurangnya sehingga Liga Negara-Negara UEFA. Selepas itu akan ada lebih banyak masa untuk memikirkan tentang Euro.
“Saya mahu berjalan selangkah demi selangkah dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga Liga Negara-Negara, dan selepas itu kita akan lihat.
“Saya tidak tahu sama ada akan berada di Euro di Jerman. Saya menikmati saat bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Sekiranya dia bermain sehingga Euro 2024, Modric menghampiri usia 39 tahun.
Bintang Real Madrid itu teruja dengan satu lagi pingat Piala Dunia selepas meraih perak di Russia. – Agensi/UTUSAN