DOHA: Ketua pasukan Belanda, Virgil Van Dijk menegaskan bahawa Argentina tidak hanya mempunyai Lionel Messi sebagai senjata utama mereka untuk merobek gawang The Oranje pada perlawanan suku akhir.
Van Dijk yang juga pemain pertahanan Liverpool itu menegaskan bahawa pertembungan antara mereka Sabtu ini bukan perlawanan bersifat peribadi iaitu antara beliau dan Messi tetapi sebaliknya antara negara.
“Saya rasa kami sudah tunjukkan apa kami mampu di bawah pimpinan jurulatih semasa menentang negara-negara lain.
“Messi adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman. Ia adalah satu penghormatan bermain menentang beliau tetapi ini bukan tentang kami atau Belanda lawan dia tetapi ini The Oranje berentap dengan The Albicelestes.
“Argentina juga bukan hanya mempunyai Messi tetapi banyak lagi pemain bertaraf dunia dan mampu memberi ancaman kepada Belanda, jadi kita kena sentiasa berjaga-jaga,” katanya.
Belanda dan Argentina mara ke suku akhir selepas masing-masing mengalahkan Amerika Syarikat (3-1) dan Australia (2-1).
Argentina yang pernah memenangi kejohanan tersebut dua kali iaitu kali terakhir pada 1986 semasa mengalahkan Jerman, 3-2 dan selepas itu sepanjang pemilik tujuh anugerah Ballon d’Or bersama pasukan mereka masih tidak berjaya menamatkan kemarau Piala Dunia.
Belanda pula memegang rekod bermain di pusingan akhir Piala Dunia paling banyak tetapi masih tidak dapat mengambil gelaran juara, jadi siri kali ini menjadi kesempatan untuk anak didik Louis Van Gaal menjulang piala buat kali pertama.
Kali terakhir Belanda dan Argentina bertemu adalah pada lapan tahun lepas di pusingan separuh akhir Piala Dunia 2014, di mana The Oranje tewas melalui sepakan penalti menjadikan pertemuan kali ini sebagai tempat untuk membalas semula.
Sementara itu, Frankie De Jong berkata, Belanda sentiasa bersedia untuk menentang sesiapa pun di dalam kejohanan tersebut.– Agensi/UTUSAN