Menu bajet di kedai mamak - Utusan Malaysia

Menu bajet di kedai mamak

JAWAHAR ALI Taib Khan ketika ditemui media selepas mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu menu bajet akan diperkenalkan di lebih 10,000 restoran mamak di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat terutama golongan B40 yang berdepan kenaikan kos hidup terutama di kawasan bandar untuk menikmati hidangan di sana.

Bagaimanapun, harga menu berkenaan belum didedahkan, namun akan diselaraskan bersesuaian dengan jenis makanan dan tempoh waktu tertentu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu akan dibincangkan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh terdekat.

“Sajian pada harga mampu milik atau bajet itu akan selaras di semua restoran mamak sama ada pada waktu siang atau malam.

“Namun, ia mungkin bergantung kepada tempoh waktu tertentu dan harganya akan ditetapkan nanti selepas perbincangan dengan kementerian berkaitan,” katanya ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-18 Presma di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, petang tadi.

Jelasnya lagi, pihaknya menjangkakan menu bajet itu akan dilaksanakan pada awal tahun depan.

“Biarpun keuntungan itu berkurangan, apa yang penting adalah pertambahan kuantiti hidangan pelanggan. Sebagai contoh, harga nasi bersama lauk atau roti canai akan dijual pada harga paling minimum sekaligus meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelanggan,” ujarnya.

Tambah Jawahar Ali, inisiatif itu kelak akan dipantau sepenuhnya oleh kementerian bertanggungjawab dan pihaknya.

“Semua restoran yang berdaftar dengan Presma setakat ini bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya bagi pelaksanaan itu.

“Kita mempunyai seramai 4,000 ahli dan lebih 10,000 restoran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya