PETALING JAYA: Satu pelan iaitu Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dibangunkan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) khusus bagi memastikan hala tuju pembangunan usahawan di daerah itu dicapai.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali berkata, dengan pelan strategik itu, para usahawan tidak akan ketinggalan dalam konsep perniagaan masa kini yang lebih ke arah pendigitalan.
“Pelan strategik pembangunan usahawan itu akan difokuskan kepada empat strategi utama iaitu menambah baik infrastruktur dan penempatan usahawan, membangunkan modal insan, memperkukuhkan ekonomi daya tahan dan memantapkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan untuk keberkesanan institusi dalam pembangunan usahawan.
“Selain itu, kita di MBPJ juga mengambil berat dan prihatin atas peniaga yang terkesan dan terjejas ketika penularan wabak Covid-19 terdahulu dengan antara inisiatif majlis ialah membantu usahawan mikro ini dengan menempatkan 837 orang peniaga di bawah skim permit sementara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya 2022, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.
Tambah Sharipah Marhaini, keusahawanan juga memainkan peranan penting dan menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi di mana melalui proses pembaharuan (inovasi), ia akan mencipta pelabur dalam perniagaan, di mana ia menyebabkan perkembangan ekonomi dan pekerjaan baru tercipta, sekali gus mengurangkan pengangguran.
Dalam pada itu, pada Majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya 2022, MBPJ meraikan usahawan-usahawan yang berjaya menamatkan kursus latihan keusahawanan dan berjaya meningkatkan hasil jualan dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, usahawan yang juga merupakan peniaga pakaian pasar malam, Abdul Halim, 47, berkata, MBPJ banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaannya dengan bantuan-bantuan yang diberikan oleh mereka.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami tiada sumber pendapatan kerana memang di pasar malam sahaja lah tempat kami cari rezeki, keuntungan pun sedikit, tetapi MBPJ bagi bantuan seperti menyediakan kursus mempelajari cara menjual pakaian dalam talian.
“Daripada tiada pengetahuan tentang dunia digital mahupun tentang perniagaan atas talian, saya kini semakin mahir menggunakannya. Alhamdulillah, dengan platform atas talian ini, kami ada jualan yang banyak berbanding dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Halim yang juga merupakan penerima Anugerah Usahawan Petaling Jaya 2022 berkata, dia berharap dengan bantuan yang diberi ini, beliau dapat lebih memajukan dan mengembangkan perniagaannya dengan lebih progresif dan lancar.
Usahawan dan peniaga makanan, Juraidah Mohamad yang memulakan perniagaannya pada 2009 berkata, cabaran dalam dunia perniagaan ini banyak, tetapi seseorang usahawan itu perlu pandai dalam mengolah strategi perniagaan mereka.
“Macam saya, cabaran itu memang ada, contohnya sekarang harga barang meningkat, jadi, saya akan olahkan dan menaikkan sedikit harga makanan saya tanpa menjejaskan kualiti makanan.
“Dalam berniaga ni kita kena pandai, kalau tak bagaimana nak survive kan, bila untung tu pulak memang seronok sebab kita dapat bayar komitmen-komitmen kita seperti hutang, melancong, dan boleh beli apa saja yang kita mahukan, cuma perlu bersabar dan tidak berputus asa,” katanya.
Tambahnya, antara harapannya pada tahun hadapan adalah ingin menambahkan lebih banyak produk makanan yang disukai ramai selain ingin memperbanyakkan buat pendapatan sampingan untuk meneruskan kehidupan.-UTUSAN