TAMPIN: Satu mayat reput dipercayai wanita warga emas ditemukan dalam kebun kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, mayat yang hanya tinggal rangka berkenaan ditemukan oleh seorang pengembala lembu di dalam kebun berkenaan dan pihak polis menerima maklumat tersebut sekitar pukul 5.30 petang.
“Anggota Pondok Polis Felda Sungai Kelamah dimaklumkan oleh penduduk mengenai penemuan rangka di dalam kebun.
“Hasil siasatan dan pengecaman yang dibuat keluarga serta berdasarkan pakaian yang ditemukan, mayat dipercayai merupakan warga emas, Aliah Omar, 74, yang telah dilaporkan hilang pada 7 Disember lalu.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin bagi bedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Online pada 7 Disember lalu melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang wanita warga emas itu yang dilaporkan hilang sejak pagi 6 Disember di Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini.
Baru-baru ini, keluarga Aliah turut tampil dan berharap agar wanita itu dapat segera ditemukan selepas kehilangannya menjangkau masa dua minggu.
Anak bongsu wanita tersebut, Che Roshidee Che Harun, 32, berkata, penduduk kampung serta pihak berkuasa sudah mencari ibunya itu di kawasan kebun di Felda Sungai Kelamah, Gemas di sini selain di jalan-jalan utama namun masih gagal menemukan Aliah yang lebih dikenali sebagai Mak Senah di kampung itu.-UTUSAN.