KOTA BHARU: Seorang mekanik ditemukan mati di dalam takungan air banjir di kawasan kebun kelapa di Kampung Kubang Kacang di sini hari ini.
Wan Mohd. Aznizam Wan Mohamad, 45, dijumpai oleh penduduk kampung tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tadi selepas hilang lebih 24 jam hilang,
Abang mangsa, Mohd. Azlan, 50, berkata, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi oleh seorang rakan adiknya itu.
Menurutnya, dia yang berada di rumah di Kampung Kubang Siput di sini terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan adiknya itu.
“Saya terkejut melihat mayat Wan Mohd. Aznizam terbaring di dalam takungan air banjir sedalam 0.5 meter di kebun kelapa itu.
“Salah seorang adik saya yang berusia 30-an terus menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat itu. Dia hilang dari rumah kira-kira pukul 2 pagi semalam. Saya dan adik-beradik lain sudah mencarinya, namun gagal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ayob Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.16 tengah hari dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, beliau dan anggota bomba membantu mengusung mayat mangsa keluar dari tempat kejadian sejauh 500 meter.- UTUSAN