IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menerima serahan bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM2.98 juta daripada empat syarikat korporat.
Baginda menerima serahan bayaran zakat itu untuk diberi kepada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Changkat Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
MAIPk dalam kenyataannya menjelaskan, penyerahan itu didahului dengan bayaran zakat berjumlah RM2.31 juta daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Perniagaannya, Mujiburrahman Abd Rashid.
Ia diikuti oleh Affin Islamic Bank Berhad diwakili Pengerusinya, Musa Abdul Malek dengan jumlah zakat perniagaan RM325,000.
Seterusnya, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan jumlah RM227,872 yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Perak, Mohd. Rosli Basri.
Akhir sekali ialah Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad dengan jumlah RM124,249 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nor Azman Zainal.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin; Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini; Anggota MAIPk, Profesor Datuk Dr. Ansary Ahmed dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari. – UTUSAN