DOHA: Selepas berjaya melakar kejutan menumbangkan Belgium, Portugal serta Sepanyol di Qatar, Maghribi kini berdepan cabaran satu lagi gergasi Eropah, Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2022 awal pagi esok.
Maghribi, pasukan Afrika pertama mara hingga ke kelompok empat terakhir Piala Dunia, dijangka mendapat sokongan padu di Stadium Al Bayt dengan semua penyokong Arab bersatu menyokong mereka.
Sekiranya berjaya melakar kejutan ke atas Perancis yang juga merupakan juara bertahan, Atlas Lions akan meneruskan perjalanan epik mereka di Qatar dan bakal membuat perhitungan antara Argentina atau Croatia di final.
Kejayaan skuad kendalian Walid Regragui di Qatar memberikan keceriaan kepada rakyat Maghribi terutama komuniti kecil mereka di Perancis dan juga seluruh dunia selepas berjaya menafikan kemaraan Portugal di suku akhir.
Pasukan dari Afrika Utara itu menjuarai peringkat kumpulan yang turut dibarisi Croatia, Belgium dan Kanada sebelum menyingkirkan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Perancis dijangka meneruskan corak permainan menyerangnya sekali gus menjadi ujian paling getir buat benteng Maghribi yang begitu kental sepanjang kempen di Qatar selepas hanya melepas satu gol pada edisi kali ini menerusi gol sendiri.
Pembantu jurulatih Maghribi, Mustapha Hadji menegaskan, pasukannya mempunyai keupayaan dan semangat luar biasa untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan Afrika Utara itu.
Katanya, taktikal Regragui juga memainkan peranan penting pada edisi kali ini yang berhasil menundukkan beberapa gergasi Eropah seperti Belgium, Sepanyol dan Portugal dalam laluan mereka ke separuh akhir.
“Regragui bersama pasukan kebangsaan sejak Ogos lalu, namun dalam masa yang singkat dia berjaya membawa Maghribi ke prestasi cemerlang. Sama seperti apa yang telah dilakukan pengendali terdahulu, Vahid Halilhodzic.
“Pasukan juga bermain dengan sepenuh hati dan mengikut apa yang diarahkan oleh jurulatih. Berdasarkan kemampuan Regragui, sudah tentu kejutan dan magis akan berlaku sekali lagi di Qatar,” katanya.
Pada aksi separuh akhir nanti, Maghribi akan turun tanpa pertahanan utama, Nayef Aguerd yang mengalami kecederaan otot paha dan mereka juga masih menanti status kecergasan kapten, Romain Saiss.
Bentang Maghribi akan berdepan jentera serangan paling berbisa di kejohanan kali ini, Kylian Mbappe yang meledak lima gol dan Olivier Giroud (empat), serta Antoine Griezman yang beraksi cemerlang ketika meraih kemenangan suku akhir ke atas England.
Pertembungan ini juga bakal menemukan rakan sepasukan Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe dan kawan baiknya Achraf Hakimi.
Keupayaan Maghribi melakukan serangan balas menerusi gandingan Hakimi dan Hakim Ziyech di sayap kanan akan terhad sekiranya mereka sibuk mengawal Mbappe.
“Ia memerlukan kesempurnaan di peringkat ini. Kualiti saja tidak mencukupi, tetapi skuad ini mempunyai kekuatan mental, dan sedikit pengalaman,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.
Perancis kini berpeluang cerah menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia selepas Brazil melakukannya 60 tahun lalu. – Agensi/UTUSAN