PASIR MAS: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Tok Sangut di sini terbakar dipercayai berpunca daripada sebatang lilin yang dipasang terbalik malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa Rosdi Daud tidak sempat menyelamatkan harta benda miliknya selepas api marak terlalu cepat.
Rosdi berkata, sebelum kejadian dia memasang lilin untuk menerangi rumahnya selepas bekalan elektrik di kawasan kampung terpaksa dipotong akibat banjir.
“Semasa kejadian saya sedang tidur, tiba-tiba dikejutkan dengan haba panas. Apabila tersedar saya mendapati api sedang marak membakar rumah.
“Saya telah berusaha memadamkannya, namun gagal apabila api semakin marak. Terkejut dengan kejadian itu saya terus membawa ayah (Daud Yusuf, 79) keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rosdi memberitahu, dia bagimanapun lega apabila isteri dan tiga anaknya tiada semasa kejadian kerana pulang ke kampung di Johor.
Katanya, dia dan ayah kemudian telah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas air di kawasan rumahnya semakin naik.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151100988720 Rosdi Daud.
Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.12 malam.
Katanya, setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati sebuah rumah sudah terbakar sebanyak 90 peratus.-UTUSAN