PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM77.7 juta agihan zakat di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) untuk menyantuni asnaf dan golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, penyaluran agihan zakat bersasar menerusi 10 inisiatif bantuan memberi keutamaan kepada asnaf, fakir, miskin, mualaf LZS, golongan B40 dan M40 yang terkesan serta institusi di Selangor.
“LZS giat membantu menangani kesempitan hidup terhadap mereka yang terkesan dengan inflasi, pasca pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
“Bantuan telah pun dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Oktober sehingga Disember 2022,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya hari ini.
Menurutnya, LZS memperuntukkan sebanyak RM33.5 juta Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) kepada 67,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf.
Dalam masa sama, bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 akan dikreditkan sebagai bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima supaya golongan itu dapat dimanfaatkan bagi keperluan hidup susulan peningkatan kos sara hidup.
Peruntukan sebanyak RM2 juta turut diagihkan melalui Bantuan Makanan Bulanan untuk memastikan tidak ada asnaf yang kelaparan.
Dalam pada itu, sebanyak RM20 juta disalurkan untuk meringankan beban perbelanjaan pendidikan golongan B40 dan M40 yang bukan dalam kalangan asnaf menerusi Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) kepada 20,000 pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Di samping itu, sebanyak RM9.95 juta disalurkan bagi memenuhi keperluan pengajian 5,300 pelajar huffaz di Selangor.
Bagi menyokong pemulihan institusi terkesan, peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggantikan perabot yang uzur.
Manakala, sumbangan RM1 juta diperuntukkan untuk menyokong tabungan pembinaan bangunan Sekolah Agama Rendah (SAR) KAFA Integrasi Puncak Alam.
Bantuan berjumlah RM430,000 lagi disalurkan bagi tujuan pelupusan Al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu.
Sumbangan sebanyak RM180,000 pula disalurkan kepada JAIS bagi pembelian set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.
Peruntukan ZSP turut melibatkan sumbangan RM500,000 untuk menaik taraf Balai Islam Pulau Ketam yang menjadi pusat dakwah komuniti Islam dan RM180,000 bagi menaik taraf Balai Pelawat di Hospital Ampang.
Terdahulu, inisiatif ZSP diperkenalkan pada tahun 2021 bagi menyalurkan bantuan bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan penularan pandemik Covid-19 melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta. –UTUSAN