Lelaki Nepal didakwa bunuh dua pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Lelaki Nepal didakwa bunuh dua pengawal keselamatan

THAKUR Prasad Bhandari (berbaju lokap ungu) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan membunuh dua pengawal keselamatan warganegara sama pada 3 Disember lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga warganegara Nepal didakwa di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki warganegara sama dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pusat Komersial Oakland di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Thakur Prasad Bhandari, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin. 

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan membunuh lelaki warganegara Nepal Manoj Kumar Chaudhary berusia 35 tahun dan Krishna Kumar Damai Pariyar, 46.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan, Tingkat 1, Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland, Seremban lebih kurang pukul 9.08 pagi hingga 4.48 petang pada 3 Disember lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah, dihukum mati. 

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan forensik, kimia dan perubatan. Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 13 Februari 2023 untuk serahan dokumen. 

Sebelum ini, media melaporkan dua pengawal keselamatan warga Nepal ditemui maut dipercayai dibunuh oleh rakan senegara dalam kejadian di Pusat Komersial Oakland di sini, 3 Disember lalu.

Keadaan kedua-dua mangsa berusia 35 dan 46 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di premis tersebut yang dijadikan kantin pekerja.

Selain itu, terdapat kesan kecederaan hentakan pada bahagian muka mangsa dipercayai dipukul menggunakan penukul yang turut ditemui di lokasi kejadian.

Suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol ditemui bersama dua mangsa dan ditahan untuk siasatan lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya