Lelaki hilang semasa angkat kayu ditemukan lemas

Lelaki hilang semasa angkat kayu ditemukan lemas

MAYAT mangsa ditemukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas berhampiran rumahnya di Kampung Chenerai, Alor Pasir, Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang semasa meredah air banjir untuk mengangkat kayu di bawah rumahnya ditemukan lemas di Kampung Chenerai, Alor Pasir di sini hari ini.

Mangsa, Mohd. Razawi Ahmed, 45, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan rumahnya pada pukul 10.45 pagi.

Saudaranya, Wan Habsah Wan Yusof, 53, berkata, sebelum kejadian dia sempat melihat mangsa dari rumahnya untuk meredah banjir sedalam 0.4 meter pada pukul 5 petang bagi mengangkat kayu miliknya daripada hanyut dibawa arus banjir.

“Bagaimanapun, selepas tiga jam kemudian mangsa tidak muncul. Ketika itu, air semakin naik menyebabkan kami sukar untuk mencarinya dan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis.

“Operasi mencari arwah juga turut dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas,” katanya dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Habsah memberitahu, mangsa yang tinggal bersendirian itu mengidap penyakit asma kronik.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan arwah penat dan terjatuh semasa mengangkat kayu di bawah rumahnya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan penemuan mangsa lemas pada jam 10.45 pagi.

Katanya, ini merupakan kejadian lemas ketiga sepanjang enam hari Pasir Mas dilanda banjir.

“Ia termasuk kes mati lemas seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun di Kampung Perol, Tok Uban (21 Disember) dan kanak-kanak berusia 15 bulan di Kampung Gual To’Deh, Rantau Panjang (19 Disember),” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya