Larangan kenderaan asing isi minyak subsidi

Larangan kenderaan asing isi minyak subsidi

AZMAN Mohd Yusof (tiga dari kiri) meninjau proses pembungkusan minyak masak sewaktu Majlis Perasmian Kilang Pembungkusan Minyak Masak Halipah di Kompleks Wakaf Behor Lalang, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berada dalam peringkat akhir bagi mewujudkan peraturan untuk menghalang mana-mana kenderaan asing daripada mengisi minyak diesel bersubsidi di negara ini.

Buat masa ini, kebanyakan kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi minyak diesel bersubsidi tersebut dengan jumlah maksimum sebanyak 20 liter sahaja.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, perancangan yang dibuat menerusi Program Ekonomi Sempadan-Pembekalan Petrol RON95 & Diesel Tanpa Subsidi itu dibuat memandangkan terdapat banyak kenderaan asing dikesan cuba mengambil kesempatan membeli bahan kawalan itu melebihi jumlah yang ditetapkan.

“Banyak kenderaan asing dikesan cuba mengisi diesel bersubsidi ini melebihi jumlah ditetapkan dengan pergi ke beberapa stesen minyak bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.

“Dan disebabkan itu, kita mesti hentikan perbuatan ini dengan cara mengeluarkan peraturan untuk tidak membenarkan mereka mengisi diesel bersubsidi ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kilang Pembungkusan Minyak Masak Halipah di Kompleks Wakaf Behor Lalang di sini hari ini. 

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar.

Isu ketirisan petrol dan diesel bersubsidi dilihat meruncing sejak kebelakangan ini khususnya selepas pintu sempadan negara dibuka bermula April lalu apabila banyak kenderaan asing dilaporkan mengambil kesempatan untuk mengisi bahan kawalan tersebut.

Dalam pada itu, Azman berkata, selain dapat mengekang ketirisan bahan subsidi itu, langkah yang bakal diambil menerusi penguat kuasaan tersebut juga dilihat tidak akan memberi kesan negatif kepada kenderaan asing yang perlu mengisi petrol dan diesel di negara ini. 

“Ini kerana didapati harga petrol dan diesel tanpa subsidi di Malaysia masih lebih murah berbanding dengan harga yang dijual di negara jiran. 

“Disebabkan itu kita kena sediakan opsyen kepada mereka dengan menyediakan diesel tanpa subsidi buat kenderaan asing,” katanya.

Di samping itu, Azman berkata, program berkenaan juga akan dimulakan secara rintis di Perlis memandangkan negeri itu mempunyai stesen-stesen minyak komersial yang menjual petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi di Padang Besar serta Wang Kelian.

Tambahnya, KPDN juga sedang mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat minyak bagi menawarkan pembekalan petrol dan diesel tanpa subsidi di Perlis. 

“Program rintis ini dijangka bermula pada Januari 2023 dan kajian impak akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat untuk pelaksanaan di negeri-negeri sempadan yang lain,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya