Lantik Zahid TPM, Anwar berani melawan popular

Lantik Zahid TPM, Anwar berani melawan popular

NORDIN KARDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Perdana Menteri membuat keputusan berani apabila melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun itu bukan satu tindakan popular.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi berkata, selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengambil keputusan berani apabila mengambil calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ke dalam Kabinet demi kepentingan negara.

Menurutnya, kecaman dan gangguan berikutan senarai Kabinet yang diumumkan Anwar semalam tetap ada, namun, Perdana Menteri sudah pun menunjukkan beliau seorang yang berani.

“Saya sifatkan tindakan PM yang mengumumkan senarai Kabinet beliau semalam sebagai berani, berani melawan popular iaitu satu daripadanya ialah mengambil Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, tindakan yang kita tak perlu huraikan.

“Beliau berani mungkin kerana ada alasan demi kepentingan negara untuk mendapat negara yang stabil dan tidak bertukar-tukar (kerajaan) seperti sebelum ini. Itu langkah berani dan luar biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selepas  Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-15 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.  

Ditanya sama ada pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh menggugat Perdana Menteri, Nordin berkata, ganggu gugat sentiasa ada, tetapi, dalam keadaan permulaaan, Anwar mesti menunjukkan keberanian dan kegagahan.

“Bahkan, pasti ada lebih besar daripada ini cabarannya, saya yakin beliau ada cabaran itu,” katanya.

Nordin berkata, Anwar juga berani mengambil keputusan tidak popular apabila melantik calon yang kalah dalam PRU15 ke dalam Kabinet sebagai menteri menerusi dilantik Senator.

“Calon yang sudah kalah,  tapi demi kepentingan kabinet,  beliau melantik sebagai senator dan menteri. Mungkin beliau tidak popular dengan keputusan itu dengan alasan beliau yang lebih mengetahui,” katanya.

Empat Senator baharu mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini, susulan pengumuman pelantikan mereka menyertai Kabinet semalam.

Mereka ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd., Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dua lagi ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Luar dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri Agama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN