Kunci tayar dalam petak parkir oleh MPKB-BRI tidak sah

Kunci tayar dalam petak parkir oleh MPKB-BRI tidak sah

HISHAM Fauzi (tengah) bersama dua lagi rakannya melihatkan dokumen berkaitan kes mahkamah isu kunci tayar di Hotel Habib, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Undang-undang mengunci tayar terhadap kenderaan di dalam petak parkir yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sejak 22 tahun lalu diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Perkara itu diputuskan oleh tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang selepas mendapati undang-undang itu bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Hashim dalam penghakimannya secara dalam talian hari ini bersetuju bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) MPKB-BRI 2000 iaitu kuasa MPKB-BRI mengunci tayar terhadap kenderaan tidak membayar parking turut bertentangan dengan Seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dengan keputusan itu, pihak MPKB-BRI tidak boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.

Keputusan itu diputuskan berdasarkan kes yang difailkan oleh seorang kerani, Nursyafawati Kasim,33, selepas kereta jenis Perodua Myvi miliknya dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra di sini tiga tahun lalu.

Tindakan kunci tayar oleh penguat kuasa MPKB-BRI itu dijalankan selepas mendapati wanita itu meletakkan kereta dengan tidak membayar caj ditetapkan selain mempunyai tunggakan kompaun.

Nursyafawati diwakili oleh tiga peguam iaitu Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing dalam prosiding kes berkenaan.

Hisham berkata, perkara utama dalam kes tersebut adalah MPKB-BRI pada tahun 2000 tidak mendapat kebenaran bertulis daripada menteri untuk menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan jalan raya atau mengunci tayar sepanjang tempoh 22 tahun hukuman itu dilaksanakan.

Katanya, selain itu, MPKB-BRI juga tidak menyiarkan undang-undang mengenai mengunci tayar di dalam warta kerajaan.

“Mahkamah melihat kedudukan Perintah 17, LKB MPKB-BRI 2000 berada dalam keadaan tidak betul. Mahkamah telah memutuskan bahawa rayuan perayu iaitu Nursyafawati untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah dibenarkan.

“Sehubungan itu, semua hukuman kunci tayar melibatkan tunggakan kompaun atau lebihan masa letak kereta daripada MPKB-BRI adalah tidak sah kecuali bagi kesalahan melibatkan kesalahan lain seperti menghalang lalu lintas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hisham memberitahu, berdasarkan kepada Perintah 17, LKB MPKB-BRI 2000, MPKB-BRI hanya boleh mengeluarkan kompaun sahaja terhadap kesalahan di bawah perintah itu dan bukannya bertindak mengunci tayar.

Katanya, meskipun, pemilik kereta itu mempunyai tunggakan kompaun parkir, MPKB-BRI tidak mempunyai hak untuk mengunci tayar kereta kerana mereka perlu mendapat kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian.

“MPKB-BRI akan mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak parkir bagi kereta yang mempunyai tunggakan kompaun. Hukuman itu salah dan tidak dibenarkan kerana pemilik kereta perlu membayar sehingga RM110 untuk membuka kunci.

“Keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan ini sekali gus memberi kesan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bukan hanya MPKB-BRI. Jadi, semua PBT terikat dengan keputusan ini,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu katanya, MPKB-BRI perlu menghentikan dahulu tindakan mengunci tayar terhadap kereta yang mempunyai tunggakan kompaun dan perlu menyemak semula undang-undang mereka termasuk LKB MPKB-BRI 2000.

“Hal ini, kerana keabsahannya mengenai perkara tersebut boleh dipertikaikan agar ia tidak lagi bertentangan dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-Utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya