Kerosakan Pangsapuri Indahria dibaiki Januari depan - Utusan Malaysia

Kerosakan Pangsapuri Indahria dibaiki Januari depan

Pangsapuri Indahria
RODZIAH Ismail (tiga, kiri) meneliti pelan pembaikan struktur Pangsapuri Indahria ketika membuat lawatan di pangsapuri itu di Shah Alam, Selangor. - FOTO / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kebimbangan lebih 10 tahun penghuni Pangsapuri Indahria dekat Batu 3 di sini bakal berakhir apabila pembaikan struktur berjumlah lebih RM24 juta bangunan itu serta kemudahan lain akan dilakukan bermula Januari depan.

Pembaikan perumahan berkenaan melibatkan struktur beberapa batang tiang pada bahagian ruang parkir tingkat bawah bangunan tersebut yang retak dan membimbangkan lebih 1,000 penduduknya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerja pembaikan tersebut akan dijalankan oleh syarikat pembangunan Kumpulan IKRAM Sdn. Bhd. (IKRAM).

“Kerajaan Selangor akan menanggung kos pembaikan tersebut kerana kita amat bimbang dengan keselamatan penduduk di sini.

“Sudah lebih 10 tahun penduduk hidup dalam ketakutan serta kebimbangan terhadap keselamatan mereka, takut berlakunya perkara buruk,” katanya ketika melawat pangsapuri tersebut baru-baru ini.

Beliau menambah, selain masalah di ruang parkir, sistem pembentungan, paip bomba serta dinding bagi mengelak limpahan air sungai masuk ke kawasan parkir juga akan dibaiki yang dijangka mengambil masa kira-kira setahun untuk dibaiki.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Indahria, Khaaliq Khairu-ddin menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan Selangor kerana prihatin terhadap nasib yang dihadapi penduduk kawasan perumahannya.

Pada Disember tahun lalu, penduduk Pangsapuri Indahria diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS).

Pemindahan tersebut diarahkan oleh pihak berkuasa selepas limpahan air Sungai Damansara memasuki perumahan tersebut ketika negeri ini dilanda banjir pada 17 Disember 2021.

Dalam pada itu, Rodziah turut menegaskan beliau memanggil pemaju pangsapuri tersebut, Shanghai Realty (M) Sdn. Bhd. bagi membincangkan penyelesaian terhadap beberapa kerosakan yang dialami unit kediaman tersebut.

Bagaimanapun, syarikat terbabit gagal memberikan maklumbalas walaupun sudah beberapa kali menghubunginya.

“Sepanjang tempoh (dipanggil) mereka tidak bertemu saya. Jadi kerajaan Selangor selepas ini tidak akan meluluskan sebarang permohonan bagi mereka membangunkan apa-apa projek perumahan di negeri ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat pemaju supaya menjalankan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membangunkan apa-apa projek perumahan di kawasan yang mereka hendak buat projek tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN