SEREMBAN: Usaha menyemarakkan sektor pelancongan di negeri ini melalui sektor pendidikan tinggi dilaksanakan dalam program Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) @ Citra Lorong Seni Seremban selama tiga bulan yang berakhir minggu lalu.
Program yang bermula sejak 11 September lalu melibatkan para pensyarah, pelajar serta kakitangan UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama MBS.
Menurut kenyataan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, bertemakan Dari Kampus ke Lorong Seni, kedua-dua pihak telah bekerjasama melaksanakan pelbagai aktiviti yang melibatkan 14 jabatan dan fakulti yang terdapat di universiti tersebut.
Lorong Seni Seremban yang merupakan destinasi tarikan pelancong di bandar raya ini menjadi pilihan lokasi penganjuran program tersebut.
“Setiap minggu pelbagai program dianjurkan di lorong berkenaan termasuk persembahan kebudayaan, penguasaan bahasa, keusahawanan, sains, seni Islam, promosi belajar di UiTM dan fiesta sukan.
“Program ini membuahkan hasil apabila Lorong Seni Seremban menjadi ceria dan meriah dengan kehadiran para pelajar saban minggu bagi menjayakan pelbagai aktiviti.
“Selain itu, para pelajar juga mendapat ilmu berkenaan sejarah dan koleksi mural yang ada di lorong seni itu selain menghubung kait setiap mural yang ada dengan kod subjek mereka,” kata kenyataan itu sempena majlis penutup program tersebut.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya dan turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Yamin Yassin.
Lebih 30 lukisan mural menghiasi Lorong Seni Seremban sepanjang 250 meter yang bermula di belakang Jalan Dato’ Sheikh Ahmad sehingga lorong Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan konsep Returning the Street to The Public.
Sementara itu, Yamin berkata, pihaknya berharap kerjasama seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pengisian dan agenda pelancongan yang lebih menarik serta terkini untuk memastikan Lorong Seni Seremban terus meriah dalam peta pelancongan Seremban.-UTUSAN.