JOHOR BAHRU: Seorang kerani di Kolej Vokasional Pagoh, Muar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan kerana memalsukan dokumen kerajaan berjumlah RM12,273.02, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Siti Aminah Nahar, 39, turut didakwa dengan empat pertuduhan pilihan kerana menggunakan semua dokumen terbabit sebagai tulen yang mana dia tahu ia adalah palsu.
Dia membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan utama, dia didakwa memalsukan dokumen melibatkan permohonan pesanan kerajaan, dokumen pembelian terus dan invois pembekal.
Bagi perbuatan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Manakala berdasarkan kertas pertuduhan pilihan pula, dia didakwa menggunakan semua dokumen terbabit sebagai tulen yang mana tertuduh tahu dokumen berkenaan adalah palsu pada masa dan waktu yang sama dengan pertuduhan utama.
Pendakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara Ogos hingga Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor memohon tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 untuk kesemua pertuduhan dikenakan.
Peguam tertuduh, Hamdan Indah bagaimanapun memohon agar mahkamah memberikannya jaminan rendah kepada tertuduh kerana tertuduh mempunyai keluarga untuk ditanggung.
“Tertuduh merupakan seorang ibu kepada tujuh orang anak yang berusia antara 4 hingga 12 tahun, dengan seorang daripada mereka menghidap penyakit kanser dan memerlukan rawatan berkala.
“Suami tertuduh pula bekerja sendiri dalam bidang penyediaan makanan,” jelasnya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diberikan jaminan sebanyak RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa perlu diserahkan serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 12 Januari untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.-UTUSAN