Kerajaan perlu beri perhatian isu lain di sekeliling pesawah

Kerajaan perlu beri perhatian isu lain di sekeliling pesawah

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan geran tanah kepada penduduk di sekitar daerah Kubang Pasu dalam Majlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera di Masjid Haji Ismail, Batu 18 di Jitra. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi perhatian terhadap beberapa isu yang melingkari kehidupan pesawah di negara ini sekiranya benar-benar berhasrat untuk membantu golongan tersebut menaik taraf kehidupan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebanyakan isu yang melibatkan pesawah ketika ini terletak di bawah bidang kuasa agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.

Isu-isu tersebut juga, katanya, tidak mampu diselesaikan dengan hanya memberikan bantuan bernilai puluhan juta setahun untuk diagih-agihkan kepada golongan berkenaan.

“Sebagai contoh, usaha untuk menguatkuasakan keadilan dalam timbangan padi. Sekarang ini, timbangan dijalankan di kilang-kilang padi hanya melibatkan pemandu lori serta tauke kilang sahaja, tetapi siapa yang periksa timbangan itu betul atau tidak.

“Pesawah yang jual padi hanya duduk di rumah serta terima resit saja dan saya difahamkan, walaupun pokok padi tahun itu nampak berat dan tunduk semua, tetapi, timbangannya tetap sama macam tahun lepas dengan kadar purata keluaran padi di Kedah ini sekitar enam tan untuk satu hektar.

“Mengapa boleh jadi begitu sedangkan apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) buat sistem penanaman dan timbangan sendiri, mereka boleh dapat hingga tujuh tan pada musim pertama dan lapan tan pada musim kedua sedangkan padi dihasilkan itu berada di bendang berdekatan orang lain. Itu antara perkara perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Masjid Haji Ismail, Batu 18 di sini, hari ini. 

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi membangkitkan isu kemiskinan pesawah yang mendakwa industri padi dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun.

Tambahnya, keuntungan daripada nilai timbangan yang dikurangkan pihak tertentu itu kemudiannya digunakan untuk membuat pembayaran kepada broker lori, traktor, mesin padi dan pelbagai pihak yang mengaut keuntungan ke atas hasil titik peluh petani.

“Itu belum kita bercakap mengenai kartel-kartel yang membekalkan input pertanian dalam membekalkan benih padi. Kadang-kadang, petani tabur benih sampai dua atau tiga kali, tetapi padi masih tak hidup dengan pelbagai alasan seperti air terlalu dalam dan sebagainya.

“Sedangkan isu sebenarnya benih tidak berkualiti. Dalam keadaan hasil yang kekal sama sejak sekian lama, kos penghasilan dan pengeluaran terus meningkat tanpa dapat dikawal dan jika itu keadaannya, bagaimana petani hendak tingkatkan hasil pendapatan mereka,” soalnya.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau berterima kasih dengan usaha dilakukan kerajaan untuk membantu pesawah seperti diumumkan sebelum ini dengan pengagihan kewangan berjumlah puluhan juta ringgit seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita berterima kasih, tetapi, itu bukan penyelesaian jangka masa panjang. Kerajaan negeri sudah banyak kali bercakap tentang perkara ini dan Kerajaan Persekutuan kenalah ambil perhatian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya